Mak hanya sekolah takat Darjah 4, Kerja Toreh Getah, tak pernah lihat dunia luar Tapi Hari Ni Mak Pegang Rekod Naik Kapal Terbang Paling Banyak


Setiap orang diuji dengan ujian yang berlainan. Ada yang perlu merasai kesukaran dalam hidup sebelum merasai kesenangan yang berpanjangan. Tetapi setiap pahit manis yang dilalui itulah yang mengajar untuk kita menghargai setiap nikmat yang diberikan.

Seperti perkongsian oleh Khairul Abdullah mengenai ibunya yang ternyata menyentuh hati ramai netizen. Dia yang merupakan anak kampung, dibesarkan oleh ibu hebat yang hanya bersekolah sehingga darjah 4 dan bekerja sebagai penoreh getah bagi menampung kehidupan mereka.

Namun, setiap pengorbanan membesarkan anak-anak, susah-payahnya dulu umpama sudah terbayar.  Ibu yang tidak pernah melihat dunia, kini anak-anak menjadikannya menjadi pemegang rekod menaiki kapal terbang paling banyak dalam keluarga. Sweetnya!

Itu mak, usianya 67 tahun dan masih sihat.

Mak cuma orang kampung yang sekolahnya hanya sampai darjah 4. Lari meninggalkan sekolah dan ibu tirinya demi untuk mencari ibu kandung berbekalkan RM1.20 di dalam poket.

Hidupnya susah dari kecil sehinggalah saya lahir dia masih susah. Kami tinggal jauh di ulu, tempat jin bertendang kata mak. Rumah dikelilingi hutan dan semak.

Ular, lipan, kala jengking, biawak, musang biasa berkampung di bawah rumah atau kadangkala terlepas masuk ke dalam rumah.

Mak boleh membaca, mengira dan menulis, berkat belajar sehingga darjah 4. Selebihnya mak hanya tahu buat kerja rumah dan menoreh getah.

Dunianya hanya di kebun getah atau di rumah bersama keluarganya. Jarang ke mana-mana. Kuala Lumpur hanya dilihat di kaca tv sahaja apatah lagi tempat lain di dunia.

Namun pada 2014, saya pinta mak untuk datang melihat cucunya yang baru lahir, cucu yang 10 tahun dia tunggu. Mak setuju, lalu saya terbangkan dia seorang diri ke Frankfurt, Germany.

Seorang diri tanpa ditemani siapa-siapa demi untuk melihat cucunya Khaleef.

Semua orang gementar, mak yang hanya tahu berbahasa melayu dengan loghat Kedah yang pekat perlu terbang ke negara yang mana orangnya jarang sekali bercakap inggeris, apatah lagi bahasa Melayu loghat Kedah.

Namun mak sampai dengan selamat.

Dan hari itu, buat pertama kalinya mak melihat dunia. Dunia yang dia tak pernah bayangkan, dunia yang salji turun memenuhi gunung dan buminya. Dipegang dan dibaling-baling salji itu semahunya.

Luas dan indahnya bumi Allah ini katanya. Sejak itu dia terbang sentiasa. Terbang melihat dunia.

Hari ini, mak terbang selang seminggu, berulang-alik untuk melihat cucu-cucunya. Lapangan terbang adalah destinasi biasa buat dia. Dia sudah mahir selok belok dan tahu cara di mana-mana airport pun.

Nak menghantar dan menjemput dia pun tak perlu masuk ke dalam dah, drop sahaja di pintu masuk dan dia tahu mana nak tuju dan tunggu sahaja di gate mana yang akan dia beritahu bila dia sampai nanti.

Yer, mak masih terbang seorang diri. Dia frequent flyer. Sesekali dia pinta untuk naik keretapi, bosan juga kerap sangat terbang katanya.

Saya mungkin menjadi orang yang pertama naik kapal terbang di dalam keluarga kami dan saya juga orang yang paling kerap travel.

Namun hari ini rekod naik kapal terbang paling banyak dipegang oleh mak.

Power mak!

#SuperMakTok

Sumber : Khairul Abdullah