Terharu tgk Sikap Hau. 9 tahun keluar-masuk sekolah, akhirnya lelaki ini dapat lihat pelajar Cina ‘rare’


PENGALAMAN sembilan tahun sebagai penceramah seminar matematik membolehkan jejaka ini bertemu dengan ramai pelajar di seluruh negara.

Redzwan berkongsi kisah mengenai Hau menerusi laman Facebook miliknya.
Bercerita kepada mStar, Redzwan Azizan sempat berkongsi pengalaman terbaharunya yang disifatkan cukup ‘rare’ dan membuka mata khususnya buat masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Mesra disapa Redzwan, dia mengakui agak terkejut melihat seorang murid lelaki berbangsa Cina yang ‘bekerja’ di kantin Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Bintang Utara, Cheras, Kuala Lumpur pada Khamis lalu.

“Masa tu waktu rehat, saya di sana untuk satu sesi ceramah. Saya tengok pelajar tu tolong makcik kantin jual kuih ‘roll’ dan ayam gunting.

“Saya sangat tertarik dengan inisiatifnya. Walaupun dia orang Cina, dia sanggup nak tolong makcik Melayu.

 

Redzwan terharu melihat sikap positif yang ditunjukkan oleh Hau.

“Bila tanya makcik tu, baru saya dimaklumkan dia memang sukarela nak tolong. Tak ada upah wang pun, cuma dapat makanan percuma sahaja.

“Saya difahamkan nama dia Hau dan dia murid tingkatan empat. Saya kagum tengok dia manfaatkan waktu rehat untuk praktis ilmu berniaga. Ayah dia pun berniaga juga,” ujar Redzwan sewaktu dihubungi.

Saya tengok dia sanggup nak membantu, satu contoh yang sangat bagus. Dia pun sangat menitikberatkan kebersihan, siap pakai sarung tangan dan sentiasa tersenyum.
REDZWAN AZIZAN
PENCERAMAH SEMINAR MATEMATIK

Menurut Redzwan lagi, situasi itu turut membuatkan dia terharu memandangkan perbezaan latar belakang kaum langsung tidak menjadi masalah buat Hau.

Ujarnya, ia sekali gus membuktikan keharmonian kaum di negara ini masih lagi utuh biarpun ada segelintir pihak yang cuba mengeruhkan keadaan.

“Sekarang ni banyak masalah pertembungan budaya, ada yang bersifat perkauman. Padahal boleh sahaja saling tolong menolong dan hormat menghormati.

“Saya terharu tengok sikap Hau. Tak ramai pelajar di Malaysia ni yang ada sikap positif seperti dia.

 

Redzwan sudah sembilan tahun berkecimpung sebagai penceramah seminar matematik.

“Saya tengok dia sanggup nak membantu, satu contoh yang sangat bagus. Dia pun sangat menitikberatkan kebersihan, siap pakai sarung tangan dan sentiasa tersenyum,” ujarnya yang menetap di Bangi, Selangor.

Tambah Redzwan lagi, sukar untuk dia bertemu dengan pelajar sebagus Hau pada zaman ini memandangkan ramai golongan murid yang semakin leka dalam dunia mereka sendiri khususnya dengan kehadiran gajet dan teknologi.

Malah katanya, inisiatif Hau yang wajar dipuji itu juga pastinya akan memberi input berguna untuk murid itu pada masa akan datang.

Redzwan berkongsi mengenai Hau menerusi laman Facebooknya pada 12 Julai lalu.

Posting itu sehingga kini menerima lebih 600 tanda suka dan turut dikongsi 153 pelayar Facebook.

sumber: mstar