Dia minta telefon lagi…” – Tak serik! Bapa dedah reaksi anaknya sehari selepas kejadian ‘mata hitam’


AKSES yang mudah kepada teknologi menjadi cabaran buat ibu bapa masa kini dalam mendidik anak-anak.

Malah, perubahan zaman turut memaksa mereka untuk menjadi lebih kreatif dalam membentuk generasi baharu.

Satu situasi yang biasa dilalui ibu bapa yang mana anak-anak dari usia kecil sudah didedahkan dengan gajet hinggakan mereka buntu bagaimana untuk menghentikan tabiat itu.

Raimi Ramani dan Raees Rafael menangis apabila menyedari mata mereka ‘berubah’ menjadi hitam kononnya akibat terlalu kerap bermain telefon bimbit.

Tular di Twitter, pasangan dari Johor ini membuat satu ‘prank’ kreatif yang mana ia berjaya membuatkan anak-anak mereka enggan lagi bermain telefon bimbit.

Menurut Mohd Rahseed Nisran, 32, dia dan isterinya, Rita Sofia Abdul Rahman, 30, mendapat inspirasi untuk menggunakan kaedah itu berdasarkan satu posting di laman Facebook.

Solekan mata yang dilakukan ke atas dua anaknya.

“Mula-mulanya nampak kat Facebook. Sewaktu anak-anak tidur, saya dan isteri cuba buat. Dia ambil mekap dan conteng mata anak.

“Bila dah bangun tu, abang dia pelik tengok mata adik hitam. Mata dia pun hitam juga.

“Kami cakap, mata jadi macam tu sebab suka main telefon, terus mereka berdua menangis,” ujarnya sewaktu dihubungi mStar pada Isnin.

Pagi tadi anak saya minta telefon, saya ingatkan balik pasal mata jadi hitam, terus dia tak nak. Nak pegang telefon pun takut.
MOHD RAHSEED NISRAN

Berkongsi kisah menghiburkan itu di media sosial, dia yang mesra disapa Rahseed mengakui ada segelintir individu yang memberi komen negatif.

Menafikan tindakan itu membawa trauma buat anak-anaknya, Rahseed berkata kaedah itu cukup berkesan khususnya untuk mengelakkan mereka leka menghadap gajet semata-mata.

Perkongsian yang tular di Twitter.

“Pagi tadi anak saya minta telefon lagi, saya ingatkan balik pasal mata jadi hitam, terus dia tak nak. Nak pegang telefon pun takut.

“Saya dan isteri bekerja, jadi kami tinggalkan mereka dengan nenek. Biasanya mereka suka buka Youtube untuk tengok Beyblade dan Upin & Ipin.

“Bercakap pasal mendidik anak-anak, memang banyak cabaran dan ia berbeza dengan zaman dulu. Sekarang dah advance. Jadi kita kena lebih kreatif.

Potret keluarga Rahseed dan Rita.

“Kalau dulu main kat luar selamat je, sekarang nak lepas depan rumah pun risau. Hantu tak risau, tapi lebih risau pada manusia,” ujarnya yang menetap di Bukit Indah, Uda Utama, Johor.

Dalam pada itu, kisah mengenai dua anaknya, Raimi Ramani, 7, dan Raees Rafael, 3, menjadi tular selepas dimuat naik ke Twitter oleh abang iparnya.

Dia turut mempunyai seorang lagi cahaya mata, Rafa Rizqi yang baru berusia tujuh bulan.

Tiga cahaya mata comel dalam keluarga itu.

Posting mengenai anak-anaknya sehingga kini menerima lebih 7,000 ulang kicau (Retweet) dan turut dihujani komen-komen netizen.

“Aku tunjuk dekat anak sedara aku. Dia insaf sejam lepas tu dia minta fon dia cakap janji tengok jauh jauh je,” tulis @martalktalk,

“Nak je aku buat dekat adik sepupu aku yang kaki main fon. Tapi tu lah. Mak dia kuat merajuk lak kalau kita apa-apakan anak dia. Haih,” tulis seorang lagi netizen.

Kenyataan Dari Public Health Malaysia 

PRANK yang dilakukan olen seorang ibu yang telah di kongsi oleh 64 ribu netizen telah dipadamkan oleh FB berikutan telah melanggar peraturan standard komuniti.

Sekiranya anda bercadang untuk mengikut cara tersebut, fikirkan semula

Penggunaan gadget secara berlebihan tanpa pengawasan ibu bapa sememang telah terbukti mendatangkan kesan negatif kepada kanak kanak.

Namun adakah KITA terlalu terdesak sehingga sanggup melakukan prank yang boleh menyebabkan luka dan parut psikologi kepada anak anak?

Prank

Prank merupakan trend terkini di media sosial yang dilakukan untuk mempermainkan seseorang, menyebabkan mangsa malu, keliru dan tidak selesa. Media sosial menyebabkan budaya prank ini semakin berleluasa termasuk ibu bapa melakukan prank kepada anak.

TRAUMA adalah peristiwa atau persekitaran yang dialami oleh seseorang individu yang menyebabkan kesan emosi, fizikal, kesihatan seseorang individu.

Semasa sedang mengalami trauma, otak kanak kanak berada dalam keadaan stres yang memuncak, hormon ketakutan di rembes dengan banyak.

Keadaan ini menjadi lebih serius kerana otak kanak kanak sedang berkembang. Sebarang bentuk trauma akan KEKAL dalam memori untuk jangka masa panjang .

Respon dan tindakbalas mungkin berbeza untuk setiap kanak kanak. Tetapi percayalah,menakut nakutkan anak dengan prank bukan cara yang terbaik untuk mengubah tingkahlaku
.

Mengikut kajian, kanak kanak yang trauma bakal berhadapan dengan kesukaran untuk mengawal emosi.

Mereka mungkin mengalami,

 Rasa ketakutan dan kerisauan yang tidak menentu

Sukar untuk ditenangkan dan dipujuk

 Bertindak agresif dan impulsif

 Hilang keyakinan diri

 Mengalami kesukaran untuk tidur

 Mundur dan terkebelakang dari segi fungsi dan tingkahlaku.
.

TRUST – Kepercayaan

Ibu bapa adalah insan yang paling dipercayai oleh kanak kanak. Sekiranya mereka dapat tahu bahawa ibu bapa telah menipu mereka sehingga mengalami trauma, adakah mereka masih dapat mempercayai ibu bapa seperti sebelum ini?

Hari ini mungkin anda solekkan mata, adakah esok lusa anda akan simbah kordial sirap seperti kesan berdarah untuk mengubah tingkahlaku yang lain?

Setiap ibu bapa ada cara yang unik dan berbeza dalam mendidik anak anak. Sesungguhnya, kanak kanak perlu tahu dan dimaklumkan mengenai kesan, akibat dan tanggungjawab dari perbuatan yang mereka lakukan.

Ternyata, dengan mewujudkan trauma dengan prank matlamat ini tidak mungkin berhasil. Agama sendiri tidak pernah mengajar untuk menipu dan menginya walaupun untuk tujuan pendidikan

Informasi kami kongsikan, pilihan sentiasa ditangan ibu bapa.

sumber: Mstar & Public Health Malaysia