Cikgu, Sayalah Ibu.. Sayalah Ayah. Ayah Iskandar dah lama pergi.Akak tak nampu nak beri kasih sayang seorang ayah.


“Cikgu. Masa cikgu ceramah tentang peranan ayah kat dewan tadi, jujurnya akak sebak.”

Kata-katanya terhenti. Airmata mengalir diwajah ibu ini. Perlahan dia urut dadanya kemudian mengelap air mata.

Anak lelaki bongsunya menggenggam tangan ibunya untuk menenangkannya. Si ibu berpaling pada anak seraya mengusap kepala anaknya sambil merenung jauh kemudian menyambung bicara,

“Bila cikgu kata tanggungjawab ayah untuk kejut anak bangun pagi, tanggungjawab ayah untuk hantar anak kelas tambahan, tanggungjawab ayah untuk memastikan anak hadir ke sekolah dan memberi kerjasama dalam setiap program sekolah, saya tak tahan menahan sebak.

Sayalah ibu. Sayalah ayah.”

Airmata turun kembali membasahi pipi. Diurut dada berkali-kali lalu menyambung cerita,

“Cikgu. Ayah Iskandar dah lama pergi. Mninggal dunia lama dahulu. Sejak itu, akaklah ayah, akaklah ibu.

Akak tak nampu nak beri kasih sayang seorang ayah. Akak tak mampu nak bagi perhatian sepenuhnya seperti anak-anak orang lain yang punya keduanya.

Cikgu tolong ya. Cikgu tolong tengok anak akak. Cikgu tegur dia. Cikgu marahlah dia. Cikgu bimbinglah dia.”

Airmatanya turun lagi. Kali ini dia makin tenang bila aku anggukkan kepala. Bila aku mengiyakan kata-katanya. Bila aku sudi bimbing dan tegur anaknya.

“Terima kasih, cikgu. Iskandar, salam dengan cikgu,” arah ibunya sebelum berlalu pergi.

Aku lihat mata Iskandar turut sama merah menahan sedih dan sayu. Dia bersalam lantas mengucup tangan aku. Dan mereka berlalu pergi sementara aku ingin bertemu ibubapa yang lain pula.

Siapa Iskandar?

Iskandar adalah murid aku yang bersungguh-sungguh cuba gembirakan hati aku dengan memberi hadiah lori kecil, sikat serta monyet tu. Hadiah terpakai agaknya dia yang punya.

Ya, anak ini anak yatim. Dan anak ini sentiasa dalam radar aku sebenarnya. Apa jua bantuan, hak anak-anak yatim termasuk Iskandar aku akan pastikan mereka dapat.

Pesanku pada ayah dan ibu sekalian yang masih ada nyawa didada, hargai anak-anak kalian. Kasihi mereka. Berikan hak mereka.

Sentiasa beri kerjasama pada sekolah anak-anak kita. Sentiasa bertanya khabar dengan guru tentang anak-anak kita.

Kita takkan tahu sampai bila kekalnya nyawa. Sebalik nafas ini diambil semula oleh pemiliknya, siapa akan jaga anak-anak kita?

Siapa akan menghantarnya ke sekolah setiap hari? Siapa akan hadiri Hari Prihatin seperti ini menggantikan kita untuk ketahui perkembangan anak-anak kita?

Jika tidak kita yang masih bernyawa, agaknya siapa yang dengan penuh ikhlas datang suatu hari nanti bila kita tiada?

#MFS

– Berikan hak anak-anak sementara nyawa masih didada. –

Komen Follower Cikgu Korea:

Nur Syukrina Mohd Fadli Salleh nampak keikhlasan dia cikgu. Bangga dengan pemberiannya kepada seorang guru, mungkin merangkap peranan “ayah” dalam hidupnya. Berjayalah anak ini satu hari nanti, kerana ibu telah melepaskan anak ini kepada guru dengan berlapang dada untuk dididik bukan sekadar ilmu dunia, tapi akhlaknya juga.

Roslieda Yatie  allahu sedih sebak semoga iskandar jadi anak yg berjaya suatu hari nanti amin2 

Siti Aida Abas Dia rindu kasih syg dr seorang ayah & rindu utk beri kasih syg pd seorang ayah..mgkin kasih syg cikgu pengubat rindu dihatinya..

Ateefa Abdullah  sedih weh kelih..agaknya dh lama pendam rasa ingin disuap makanan oleh seorang ayah..hmmm

Mastura Mohd Salim Semoga setiap anak menjadi Anak2 yang soleh/solehah, berjaya didunia dan akhirat, mendapat kasih sayang dan menjadi khalifah yang terbilang, memimpin dengan adil dari segi keluarga ataupun rakyat jelata. Semoga mendapat rahmat jugalah mereka yang menyayangi dan membimbing mereka. Amiinnn…

Norhaslina Hasan Masa baca pasal hadiah Iskandar hari tu, saya fikir mungkin dia beli sendiri hadiah tu. Bila tau cerita sebenar Iskandar, saya sedih sebab dalam keadaan hidupnya sebegitu, dia masih nak bagi hadiah pada cikgu

Renee Rafizan Ya Allah sebak saya baca kisah ni. Teringat pada anak² buah saya yang baru saja kehilangan ayah mereka. Ayah mereka yang satu²nya adik saya cikgu. Semoga anak² arwah adik saya dan anak² yatim yang lain sentiasa dalam lindungan Yang Maha Esa. Aamiin.

Komen Cikgu Korea : 

Mohd Fadli Salleh Dia hanya guna kotak kasut terpakai sahaja untuk mengirim hadiah pada aku. Malu dia bila aku nak buka di sekolah hadiah ini. Bila aku lihat dia malu, aku memutuskan untuk buka hadiah di rumah sahaja.

Mohd Fadli Salleh Hadiah dari Iskandar yang pasti aku takkan lupa sampai bila-bila.

Mohd Fadli Salleh Inilah Iskandar. Anak yatim yang sangat baik budi pekertinya.

Hadiah Dari Iskandar

Alahai Iskandar. Punya dia nak gembirakan aku sampai cari kotak nak bagi hadiah. Tak sempat balut apa pun, dia salotape sahaja.

Bila digoncang, terlambung-lambung hadiah dalam tu. Memang aku teruja nak tahu apa isinya.

Sebaik aku sampai di rumah, bila dibuka kotak kasut hadiah dari Iskandar ini, rupanya ada 3 hadiah. Lori McDonald’s, patung monyet dan juga sikat perapi tukang gunting yang ada pisau Gillette di dalamnya.

Aku agak semua ini bukan dia beli. Semua ini dia ambil apa yang ada kat rumah dia je. Agaknya tu lori dia dapat masa beli Happy Meal kat McD. Patung pula agaknya adik dia punya.

Sikat perapi tu aneh sikit. Entah mana dia dapat tak tahu lah. Tapi sikat tu tak boleh pakai setiap hari, botak aku nanti sebab ada pisau Gillette dalam tu.

Punya dia nak bagi aku gembira sampai bagi barang miliknya sendiri sebagai hadiah. Punya dia nak gembirakan hati seorang guru yang sering marah dia bila tak siap kerja, yang selalu denda dia bila dia langgar peraturan.

Tapi anak-anak ini tiada dendam. Mereka tahu marah aku kerana sayang, hukum aku untuk mendidik.

Allahu. Terharu betul.

Terima kasih la semua anak-anak sudi membuat surprise, bagi hadiah, bagi kad ucapan, bagi pen, bagi marker dan sebagainya.

Siap ada pakatan budak tu bawa kek birthday, budak ni bawa air kotak, budak tu bawa cup cake, orang ni bawa coklat, bawa pinggan kertas, bawa cawan, gelas, bawa belon, bawa alas meja dan sebagainya. Siap collect RM3 seorang lagi.

Ia bukan usaha yang kecil. Ia perancangan yang sangat rapi untuk murid baru usia 11 tahun.

Yang pasti, mak ayah mereka pun bantu sama menjayakan surprise ini aku rasa. Terima kasih semua. Rasa nak nangis dah tengok hadiah Iskandar pastu tengok gambar-gambar ni.

#MFS
– Sebak –

sumber: Mohd Fadli Salleh