Walaupun Nampak Normal, Saya dan Edrie pernah rahsiakan dua anak hidap autistik kerana


VOKALIS kumpulan Candy iaitu Patricia Robert mendedahkan pada awalnya dia memilih untuk merahsiakan keadaan kesihatan dua anaknya iaitu Darren Haikal, 15, dan Dylan Haidar, 7, yang merupakan penghidap autistik daripada pengetahuan umum.

Pat atau nama sebenarnya Nurul Nadhira Patricia Robert ini berkata, dia mengambil masa yang lama sebelum benar-benar bersedia berkongsi mengenai perkembangan membesarkan anak-anak istimewa itu.

Patricia bergambar kenangan bersama suami dan anak-anak.

Isteri kepada pemuzik terkenal Edrie Hashim, 45, berkata, dia mempunyai sebab tersendiri dalam membuat keputusan untuk merahsiakan perkara tersebut.

“Mula-mula saya memang tak boleh terima anak saya adalah autisme. Sebab itu saya sendiri tak pernah sebut apa-apa tentang anak terutama mengenai autisme.

“Saya juga ada sebab tersendiri selain bimbang sekiranya satu hari nanti mereka pulih, dia akan malu jika orang tahu mereka autisme,” katanya kepada mStar.

 


Dua anak lelaki Pat hasil perkahwinan bersama Edrie Hashim.

Bagaimanapun, Pat berkata dia mula terbuka hati untuk berkongsi perkembangan kanak-kanak itu selepas berasa bimbang tindakan orang sekeliling yang tidak memahami situasi kesihatan dua anaknya itu.

“Mereka nampak seperti orang normal sahaja. Cuma tindakan mereka yang tidak normal membuatkan saya bimbang jika mereka dipukul.

“Sejak itu saya dan Edrie terfikir untuk dedahkan keadaan kesihatan mereka kepada umum.

Mula-mula saya memang tak boleh terima sebab itu saya sendiri tak pernah sebut apa-apa tentang anak terutama mengenai autisme.
PATRICIA ROBERT
PENYANYI

Dalam pada itu, Pat turut memuji ketabahan pelakon Zarina Zainuddin yang sentiasa berkongsi perkembangan dua anak kembarnya yang menghidap autisme menerusi laman sosial.

Kata Pat, apa yang dikongsi dramatis itu adalah tindakan yang betul dan memberi pendedahan kepada masyarakat.

“Saya memuji dan kagum dengan tindakan Zarina yang sering berkongsi mengenai anaknya di Instagram. Dia banyak memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai penyakit autisme ini.

“Bila tengok video dikongsikan Zarina, saya kasihan dan berasa sedih lihat dia dipukul anak sendiri. Saya faham situasi itu kerana saya juga melalui perkara sama,” ujarnya.

Pat dan Edrie mendirikan rumah tangga pada 9 Februari 2002. Hasil perkongsian hidup selama 17 tahun itu mereka dikurniakan dua orang anak iaitu Darren Haikal, 15, dan Dylan Haidar, 7.

Sebelum itu, Pat pernah berkahwin dengan James Bayang, 48, namun bercerai pada tahun 1995.

sumber : mstar