Guru rotan kaki murid enggan solat dipenjara sehari, denda RM4,000


Mahkamah Tinggi mengekalkan sabitan terhadap seorang guru agama selepas didapati bersalah mencederakan kaki muridnya menggunakan rotan kerana enggan menunaikan solat, semalam.

Hakim Datuk Abdul Halim Aman menjatuhkan hukuman penjara sehari (semalam) dan denda RM5,000 terhadap tertuduh, Muhammad Adib Abd Halim, 25, menggantikan hukuman asal penjara enam bulan dan denda RM2,000.

Pada 16 November 2018, Mahkamah Majistret Kajang menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh selepas Majistret Nor Afidah Idris mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Muhammad Adib dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan tuduhan memperuntukkan hukuman penjara setahun dan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Majistret bagaimanapun membenarkan peguam tertuduh memohon pergantungan perlaksanaan hukuman penjara sementara memfailkan notis rayuan di Mahkamah Tinggi, namun memerintah tertuduh membayar denda itu serta-merta atau dipenjara tiga bulan jika gagal berbuat demikian.

Tertuduh bagaimanapun membayar denda tersebut.

Sumber: Harian Metro

Nukilan Cikgu korea tentang kisah benar tentang rotan dan tugasnya.

ROTAN – Jika ia tidak mampu mendidik, ia hanya satu alat kejam yang melukakan badan dan perasaan. – CF –

Aku ini cikgu Matematik. Kata orang, cikgu Matematik adalah cikgu paling garang dalam sekolah.

Aku tak tahu lah sekolah lain. Tapi kat sekolah aku memang benar kenyataan tu. Faktanya dalam sekolah ni, akulah paling banyak merotan murid.

Bahkan sekolah sebelum ini pun sama juga. Rekod aku merotan belum pernah dipecahkan oleh sesiapa rasanya.

Namun murid-murid yang aku rotan tak pernah berdendam. Mak ayah pun tak datang menyerang.

Sedangkan anak mereka kena berpuluh-puluh kali rotan. Ya, budak aku kena rotan 30-40 tu biasa. Seram kan? Haha.

Kenapa murid-murid tak menjauh dan ibubapa pula tidak datang menyerang?

Kerana teknik merotan itu betul. Bagaimana teknik merotan yang betul?

1. Kena bagi amaran awal untuk setiap hukuman. Aku selalu bagi peringatan,

“Siapa tak bawa buku, 10 rotan. Siapa tak siap kerja, 1 rotan untuk satu soalan.”

2. Kali pertama murid langgar, aku akan bagi kemaafan. Menunjukkan kita ada tolak ansur dengan mereka walau mereka buat salah dan melanggar peraturan. Kali kedua pun sama. Bagi kemaafan dengan penegasan yang kuat.

“Sekali lagi awak tak siap kerja, cikgu takkan maafkan dah. Cukuplah 2 kali peluang ini.”

3. Kali ketiga, aku akan rotan. Itu pun pada tapak tangan sahaja dengan pembaris kayu. Bukan rotan macam dalam gambar tu. Kali ketiga ini, aku masih main perasaan mereka dengan bagi diskaun,

“Dah tiga kali amaran pun awak tak siap kerja dan tak bawa buku juga. Hari ni cikgu kena rotan awak. Tapi cikgu bagi peluang terakhir pada awak. Kali ni cikgu rotan separuh je. Patut awak kena 18 rotan, cikgu rotan 9 kali je.”

Aku akan cakap dengan tegas tanpa melibatkan emosi. Mereka tahu aku tegas dan aku akan buat apa yang aku kata.

Namun masa ni mereka tahu aku juga ada tolak ansur dan mereka bersyukur dalam masa yang sama. Mereka kena rotan, tapi mereka bersyukur. Power kan? Haha.

Kat stage ini, kita bagi signal pada murid tentang tiga perkara.
a) Cikgu ini tak main-main.
b) Cikgu masih memaafkan walau berkali-kali langgar peraturan.
c) Cikgu tidak libatkan emosi dalam memberi hukuman.

4) Aku takkan sesekali melibatkan emosi dalam menjalankan hukuman. Setelah mereka dihukum atas kesalahan, aku akan layan mereka seperti biasa.

Soalahnya mereka tidak pernah buat salah. Boleh bergurau dan gelak ketawa bersama macam orang lain.

Pada peringkat ini, murid akan sedar aku menghukum mereka bukan kerana benci. Bukan kerana dendam. Melainkan kerana mereka melanggar peraturan. Hanya kerana aku sayangkan mereka.

Tiada dendam yang mereka peram. Maka ianya tidak menjadi keperluan bagi mereka untuk mengadu tentang hal ini.

5) Sebaik murid menyedari semua ini, mereka akan menghormati kita. Sangat hormat dan sukakan kita.

Garang tapi disukai, itu rare kan?

Paling banyak merotan mereka, namun mereka paling suka datang mendekat, datang peluk, datang angkat barang, kadang pimpin tangan (murid-murid lelaki ya), nak berborak, nak bercerita padahal baru lepas kena rotan.

Ya, murid aku begitulah. Rujuk gambar ketiga dan keempat itu. Itu antara murid yang paling nakal dalam sekolah dan selalu kena dengan aku. Tapi hubungan kami akrab bukan main.

Bahkan setelah mereka masuk sekolah menengah, mereka masih lagi datang ke sekolah aku mencari aku. Topik utama yang mereka bualkan tidak lain tidak bukan ialah rotan.

“Bisa ooo rotan Cikgu Fadli. Menggelupur kalau kena.”

“Cikgu kami rindu nak kena rotan.”

Tu dia, sampai rindu nak kena rotan. Haha.

6) Sampai satu tahap, sebaik aku masuk dalam kelas murid datang beratur depan aku. Tanpa sempat aku aku bagi salam, tanpa sempat aku bertanya kenapa, mereka datang seraya berkata,

“Cikgu. Rotan saya. Saya tak siap kerja. Saya janji esok saya siapkan.”

Masa ini, rotan itu bukan lagi alat menghukum. Masa ini, rotan menjadi alat mendidik yang sangat efisien.

Mereka menjadi seorang manusia yang bertanggungjawab pada kesalahan sendiri. Mereka tidak malu untuk mengakui.

Lebih penting, mereka cuba mengubah diri.

Pada aku, inilah dia kejayaan dalam mendidik. Pada aku, inilah cara yang paling betul menggunakan rotan.

Membuat mereka sedar akan tanggungjawab. Membuat mereka berubah sikap.

Dan membuatkan mereka makin mendekat dengan kita.

Merotan tidak sepatutnya meninggalkan kesan dibadan. Ia sepatutnya membuat pelajar terkesan dihati.

Pada aku, itulah yang sepatutnya.

#MFS
– Bercerita tentang rotan dan sikap. –