Tiada Petunjuk buat Masa Skrg, Orang Ramai Diminta Hulur Bantuan Teruskan Misi Pencarian Ashraf


Misi pencarian Mohd Ashraf yang hilang sejak 23 Mac lalu masih diteruskan sehingga ke hari ini.

Dia yang merupakan salah seorang peserta Gopeng Ultra Trail telah didakwa hilang selepas menyedari tidak tiba di garisan penamat pada masa yang ditetapkan.

Kehilangannya dijejaki selama beberapa hari ini, namun tiada sebarang petanda dijumpai.

Hari ini, melalui Facebook rasmi Seladang Perak, mereka menyeru orang ramai untuk membantu mencari Ashraf memandangkan pihak berkuasa akan menamatkan pencarian mengikut prosedur.

Melalui kenyataan itu, orang ramai diminta untuk sama-sama menghulurkan bantuan daripada segi tenaga dan wang ringgit bagi memastikan misi pencarian Ashraf diteruskan.

Assalamualaikum.. #prayforacab

PANGGILAN SEMBOYAN UNTUK SEMUA PENDAKI & PELARI!! We need YOU!!

Untuk pengetahuan semua, pada hari esok (30 mac 2019) pihak berkuasa seperti Apm, Bomba, Polis dan lain2 akan stand down utk operasi SAR asyraf @ ACAB. Ucapan terima kasih kami kepada pihak berkuasa yang bersungguh-sungguh membantu mencari saudara acab sepanjang operasi ini. Salam hormat kami pada tuan dan puan.

Hari ini merupakan hari ni merupakan hari ketujuh acab hilang ketika menyertai Gopeng Ultra Trail. So memandangkan pihak berkuasa akan menamatkan operasi mereka mengikut prosedur mereka, setelah perbincangan dgn beberapa orang antaranya pihak penganjur, bro mat dee (HACAM) , abg mus (MOSARS) dan Boy (Gopeng Ultra), Pak Lee (PMGM) dan lain2 , kami sepakat untuk meneruskan misi pencarian sedaya dan semampu kami.

Namun kami masih mengharapkan bantuan tenaga dari anda semua. So pada Sabtu dan ahad dan hari seterusnya sehingga saudara acab ditemui, kami menyeru dan merayu pada sesiapa yg berkelapangan untuk hadir menyumbangkan tenaga dalam misi ini.

Follow: Gopeng ULTRA

Sumber: Seladang Perak


Operasi SAR Peserta Hilang Diteruskan – Bomba
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak akan meneruskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang peserta Gopeng Ultra Trail, Mohammad Ashraf Hassan, yang hilang sejak Sabtu lepas sehingga ditemui semula.

Pengarahnya, Azmi Osman berkata pihaknya yakin dapat menemui petunjuk baharu apabila operasi SAR telah diperluaskan hari ini kepada 12 kilometer.

Katanya operasi SAR yang masuk hari keempat hari ini turut mendapat kerjasama beberapa agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Pasukan Gerakan Am selain  persatuan pendaki serta individu yang mempunyai kepakaran mengesan dan mencari orang hilang.

“Kita memberi fokus pencarian kepada kawasan puncak Bukit Batu Putih ke arah ‘check point’ 10 yang merupakan ‘check point’ terakhir merangkumi kawasan cerun bukit dan kawasan perumahan penduduk kampung yang melalui jalan bertar,” katanya ketika ditemui sumber di pos operasi di Kampung Sungai Itek di sini hari ini.

Beliau berkata Unit Anjing Pengesan (K9) dari Kuala Lumpur sekali lagi akan digerakkan untuk mengesan mangsa yang berusia 29 tahun dalam kawasan radius kawasan pencarian tersebut.

Mengulas lanjut, Azmi berkata petunjuk sebelum ini termasuk penemuan botol minuman yang dipercayai milik mangsa tidak menunjukkan hasil positif dan pasukan penyelamat akan mencari bukti serta petunjuk baharu yang boleh membawa kepada penemuan mangsa.

Menurutnya, operasi SAR tidak akan terhenti sebelum mangsa ditemui melainkan pihaknya menerima arahan atau faktor-faktor lain yang perlu menghentikan operasi berkenaan.

Sementara itu, seorang penduduk kampung, Johari Lukar, 64, berharap sebarang penganjuran aktiviti rekreasi di kawasan itu terutama yang membabitkan persekitaran sungai dan bukit perlu dimaklumkan terlebih dahulu kepada komuniti setempat.

Johari berkata ini kerana penduduk tempatan lebih mahir mengenai selok belok di kawasan persekitaran seterusnya dapat mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.

“Sepatutnya penganjur perlu bekerjasama dengan penduduk kampung kerana kami lebih arif dengan jalan dan laluan di sini,  kalau tidak nanti jadilah kes seperti hilang atau sesat.

“Aktiviti riadah seperti ini sering dianjurkan di sini, namun apabila ada kes orang hilang atau sesat selalunya mangsa akan ditemui pada hari yang sama, tak pernah lagi hilang berhari-hari seperti kes ini,” katanya.

Mohammad Ashraf, dari Muar, Johor bersama 485 peserta lelaki dan perempuan yang lain memulakan larian dari Gua Tempurung bagi kategori 25 kilometer pagi Sabtu dan sepatutnya berakhir pada hari yang sama di lokasi sama.

Kehilangan mangsa disedari kawannya, Mohd Farid Md Kamal, 32, apabila mendapati Mohammad Ashraf masih tidak sampai selepas selesai perlumbaan sebelum membuat laporan polis kira-kira pukul 1.09 pagi, Ahad lepas.

Sumber : Bernama