Masih ingat lagi tak adik ni? Hari pertama sekolah meraung sakan kini asyik nyanyi lagu Khai Bahar


INGAT lagi video seorang budak yang menangis pada hari pertama sesi persekolahan tadika yang tular di media sosial, awal tahun ini?

Video tersebut memaparkan seorang kanak-kanak yang menangis cuba dipujuk gurunya, dan dia cuba mengingati nombor telefon ibunya untuk dihubungi.

Dia yang menangis teresak-esak itu kemudian berteriak sampai tidak ingat dunia sebaik diberitahu ibunya pergi bekerja, sekali gus telatahnya mencuit hati netizen.

Paparan skrin video yang tular awal tahun ini.

Terbaharu selepas tiga bulan video tersebut tular, sebuah video lain mengenai kanak-kanak berkenaan dikongsikan di media sosial pada Sabtu.

Video berdurasi kira-kira 1 minit dan 36 saat itu dimulakan dengan rakaman yang tular pada Januari lalu dimainkan semula di hadapan kanak-kanak tersebut, dan kendengaran suara bertanyakan sebab dia menangis ketika itu.

“Takut… masa kat sekolah, sekerat hari je. Menangis teruk sangat,” katanya secara bersahaja.

Si cilik itu kemudian diminta untuk mengingati nombor telefon ibu bapanya, berikutan terdapat sedikit kesilapan semasa menyebutnya di dalam video terdahulu.

Lebih mesra dengan panggilan Haiqal, kanak-kanak itu dengan lancar menyebut nombor telefon kedua-dua ibunya, sambil memberitahu ‘senang’ mengingatinya.

Muhammad Emir Haiqal. Foto ihsan Muhamad Amin Othman

Bapa Haiqal, Muhamad Amin Othman, 32, memberitahu, anaknya yang berusia lima tahun itu hanya menangis pada hari pertama sekolah dan kini lebih ceria.

Macam-macam lagu dia nyanyi. Lagu yang selalu dia nyanyi adalah Luluh nyanyian Khai Bahar.
Bapa Haiqal

Katanya, Haiqal atau nama sebenarnya Muhammad Emir Haiqal yang dilahirkan di Kluang, Johor merupakan anak yang petah bercakap dan rajin mengaji.

“Sebelum masuk tadika lagi, Haiqal sudah belajar mengaji di rumah. Haiqal memang seorang yang petah bercakap, ada saja yang nak diceritakannya kepada kami.

“Bukan setakat ABC, 123, dan surah Al-Fatihah serta ayat Kursi, bahkan juga zikir. Dia seorang yang cepat hafal apa yang didengarnya,” katanya kepada mStar Online sambil menambah mereka sekeluarga menetap di Ipoh, Perak.

Muhamad Amin (kiri) bersama Haiqal (dua, kiri), isteri dan anak keduanya.

Mengenai anak sulung daripada dua beradik itu, Muhamad Amin berkata, Haiqal juga suka menyanyi dan belajar daripada apa yang didengarnya di radio.

“Macam-macam lagu dia nyanyi. Lagu yang selalu dia nyanyi adalah Luluh nyanyian Khai Bahar. Kadang-kadang saya pun turut sama nyanyi lagu tu bersama Haiqal.

“Saya dulu pun suka menyanyi, terutama masa di sekolah menengah mewakili Perlis ke Festival Nasyid Kebangsaan Sekolah-Sekolah 2004 di Kuala Lumpur dan kami dapat tempat ketiga,” kata bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Arau, Perlis.

Masih terlalu awal untuk melihat sama ada Haiqal akan mengikut jejak langkahnya menyertai pertandingan nyanyian di sekolah, tetapi Muhamad Amin memberitahu, anaknya itu mempunyai bakat dalam bidang pengacaraan.

“Kami sebagai ibu bapa sudah tentu akan sentiasa memberi sokongan kepada dia untuk berjaya dan menjadi yang terbaik,” ujarnya.

 Video tular Haiqal menangis pada hari pertama persekolahan.

 Video Facebook Viral Media Johor

Video muzik lagu Luluh nyanyian Khai Bahar.
Anak menangis tak mahu balik sebab sekolah ‘best sangat’, bapa jawab tuduhan garang, cikgu lawa

SESI persekolahan yang bermula pada Rabu dibanjiri dengan air mata kanak-kanak yang memasuki tadika, pra sekolah mahupun Tahun Satu, yang sebahagian daripadanya menangis kerana tidak mahu berpisah dengan ibu bapa.

Ragam itu bukan sahaja mencabar ibu bapa yang menghantar anak-anak pada hari pertama persekolahan, bahkan guru-guru di kelas.

Namun lain pula berlaku kepada seorang murid yang menangis kerana tidak mahu pulang ke rumah, meskipun dijemput ibu bapanya.

“Tak nak balik? (Kedengaran suara lelaki dipercayai bapanya). Tak nak… (balik rumah) sekolahnya best sangat,” kata murid itu yang dilihat menangis teresak-esak dalam sebuah video yang tular sejak Rabu.

Muhammad Danish Azfar Mohamad Suhaimi. Foto ihsan Mohamad Suhaimi Muhd Lahuri

Gelagat kanak-kanak dalam video yang berdurasi kira-kira 25 saat itu bukan sahaja mencuit hati, tetapi turut menimbulkan tanda-tanya dalam kalangan netizen.

“Budak lain nangis tak nak pergi sekolah, adik ni nangis tak nak balik rumah,” kata seorang pengguna Twitter @nrsakinahdz.

Susulan pelbagai spekulasi netizen, bapa kanak-kanak itu, Mohamad Suhaimi Muhd Lahuri tampil menjelaskan perkara sebenar di sebalik insiden yang tular.

Mohamad Suhaimi bersama anaknya, Muhammad Danish.

Bercakap kepada mStar Online, Mohamad Suhaimi, 38, berkata, anaknya, Muhammad Danish Azfar yang baru berumur lima tahun memasuki kelas pra sekolah di Sekolah Kebangsaan Hulu Bernam di Hulu Bernam, Hulu Selangor pada Rabu.

“Selepas waktu persekolahan tamat kira-kira pukul 12 tengah hari, saya dan isteri menjenguk dia dari luar tingkap untuk ajak dia balik. Tapi dia kemudian tiba-tiba menangis tak nak balik.

“Semuanya gara-gara permainan baharu di kelas dia. Permainan di kelas tu untuk pujuk kanak-kanak tidak menangis. Anak saya ni memang pantang kalau jumpa mainan baharu. Dia memang teruja, lagipun dia jenis peramah suka bergaul dengan rakan-rakan. Sebab tu dia tak nak balik,” katanya ketika dihubungi.

Permainan yang disukai Muhammad Danish di kelasnya.

Mohamad Suhaimi yang bekerja sebagai juruteknik berkata, dia dan isteri bagaimanapun berjaya memujuk anaknya untuk pulang ke rumah dengan berjanji akan membelikannya permainan baharu, sama seperti yang ada di kelasnya.

Tambah bapa kepada tiga anak ini, Muhammad Danish mengambil masa yang lama untuk mencari permainan yang sama, sehingga banyak cadangan ditolak.

“Permainan yang dia suka tu macam mainan untuk proses pembelajaran, ada yang hampir sama tapi dia tak nak. Sebab dia nak yang sama juga.

“Tapi anak saya ni memang suka sangat dengan Ultraman. Jadi, bila dah rambang mata dalam kedai permainan, saya akhirnya tawarkan mainan Ultraman. Dia yang keliru dengan macam-macam pilihan terus setuju,” katanya secara berseloroh mengenai Muhammad Danish yang merupakan anak bongsu.

Muhammad Danish dipujuk dengan pembelian permainan baharu Ultraman.

Mohamad Suhaimi yang turut menetap di Hulu Bernam bersama keluarganya berharap penjelasannya itu dapat menolak segala spekulasi yang ditimbulkan netizen.

“Pasal cikgu lawalah, pasal tu lah, ini lah…. sebab tak suka kat rumah lah, mak bapa garang lah. Lawak betul tuduhan mereka. Kami sekeluarga termasuk keluarga memang sayangkan dia, keluarga pengasuh pun rapat dengan anak kami.

“Bukan tak ada permainan di rumah, sebenarnya berlambak. Cuma anak saya ni memang teruja kalau ada permainan baharu. Hari kedua kat sekolah dia OK, sebab dia dah janji selepas dibelikan permainan. Memang dia tak nangis dah hari ni,” katanya.