Saat kawan-kawan mewah berbelanja, ada kawan sekelas tiada duit poket pun


Hari ini sekolah kami buat Program Maju Diri, bawah Unit Bimbingan dan Kaunseling. Aku kena handle slot perbelanjaan sekolah murid dan didik mereka menyimpan.

Salah satu bahan yang aku edar ialah Lampiran WS1 ini. Murid diminta menulis jumlah wang saku mereka, cara mereka belanja dan berapa simpanan mereka.

Salah seorang murid mengisi borang ini seperti ini.

Wang belanja : RM 0.00
Barang yang dibeli : Tidak belanja.
Wang yang dibelanja : RM 0.00
Wang Simpanan : RM 0.00

Murid yang menulis borang ini, anak yatim kem4tian bapa sejak sekian lama. Dia dapat bantuan RMT setiap hari.

Sebab itu dia tidak membawa duit belanja waima seringgit pun. Dan murid ini, sememangnya dalam radar Dana Kita. Apa yang boleh aku bantu, aku bantu. Barang dapur juga sesekali aku hantar pada ibunya.

Semasa pembentangan kelas, aku minta murid ini tampil beritahu rakan sekelas berapa duit belanja sehariannya. Dia dengan yakin dan berani tampil dan bercerita sehingga murid lain terlopong mendengar ya.

Setelah itu aku bingkiskan kata nasihat. Saat kawan-kawan mewah berbelanja, ada kawan sekelas tiada duit poket pun. Namun orangnya sangat rajin belajar.

Begitulah hidup. Kita terasa cukup susah, namun diluar sana ada murid tanpa ayah datang ke sekolah tanpa bawa waima sepuluh sen.

Kemiskinan tidak menjadikan dia pemalas, bahkan murid ini paling pantas menghafal sifir dalam kelas. Belum ada mana-mana murid mampu menandingi dia menghafal sifir.

Semoga anak ini maju jaya dan merubah nasib diri dan keluarga di masa akan datang. Amin.

Satu masa nanti, aku dengan bangga akan berkata,

“Inilah murid ku yang dulunya ke sekolah tanpa duit belanja. Kini dia sudah berjaya.”

#MFS
– Satu harapan buat anak-anak didik tersayang –

sumber: Mohd Fadli Salleh