Teguran melalui Surat terbuka Mufti Wilayah Persekutuan untuk drama Isteri Untuk Disewa buat ramai setuju


DRAMA Isteri Untuk Disewa gandingan pelakon popular Fattah Amin dan Tiz Zaqyah yang kini sedang ditayangkan di saluran Astro Ria telah mendapat perhatian Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Berikut, merupakan surat terbuka dari mufti untuk pengarah drama ini, Osman Ali, yang memperkatakan mengenai dua isu iaitu yang pertama mengenai tajuk drama dan yang kedua implikasi hukum.

Zulkifli menegaskan bahawa tajuk drama ini; Isteri Untuk Disewa jika difahami secara zahir merupakan suatu perkara yang amat bertentangan dengan zahir nas al-Qur’an dan Sunnah. Begitu juga dengan moraliti kehidupan manusia sama ada Islam mahupun bukan Islam.

“Tanpa menafikan kebebasan berkarya dalam budaya penggiat seni, kami merasakan bahawa tajuk berkenaan adalah kurang sesuai.

“Alasan kami jelas, isteri bukan untuk disewa. Isteri adalah akad yang sahih dan diperintahkan untuk bergaul dengan baik sebagaimana yang tertera dalam Surah al-Nisa’ ayat 19.

“Penamaan tajuk yang provokatif dikhuatiri akan menjadi trend dalam penggiat seni sekiranya tidak diberikan penerangan jelas daripada hukum syarak, mengenai implikasinya dalam masyarakat,” tulisnya.

Mengenai implikasi hukum pula, tambah Zulkifli, dalam Islam, isteri tidak boleh dikontrakkan sama ada dalam tempoh jam, hari, minggu atau bulan. Meminjam isteri bukanlah amalan dalam Islam, begitu juga menyewa isteri.

“Isteri adalah amanah ALLAH kepada suami untuk dimuliakan, dikasihi, disayangi dan diberi hak-haknya seperti termaktub dalam nas al-Qur’an, hadith dan pandangan fuqaha’.

“Kami yakin, tidak ada sekelumit niat dalam hati penulis novel dan pengarah tersebut untuk membuat sesuatu yang d iluar kerangka Islam namun, sewaan isteri jelas sekali adalah sejuzuk daripada cabang mut’ah yang tidak dibenarkan dalam kalangan fuqaha’ Ahli Sunnah wal Jama’ah dan diharamkan dalam Islam,” katanya lagi.

Berikut merupakan keseluruhan surat terbuka yang dipetik dari Muftiwp.gov.my
Mukadimah
Alhamdulillah, kami rafa’kan segala kesyukuran kepada Allah atas pelbagai nikmat yang tidak terhitung kepada kita termasuklah negara yang aman dan makmur.

Kami mengambil prihatin dan cakna akan lambakan drama yang berkonsepkan santai, isu-isu kekeluargaan dan percintaan mutakhir ini. Secara umumnya sebagai penonton, kita harapkan drama atau filem yang berkualiti dan sarat dengan mesej, setanding dengan hasil seni peringkat antarabangsa.

Mungkin ada yang tertanya-tanya, mengapa kami memilih “Isteri Untuk Disewa” dan bukan drama-drama lain? Ada beberapa sebab mengapa kami memilih drama ini:

Persoalan daripada mustafti berhubung tajuk drama ini.

Isu fiqh perkahwinan yang wujud dalam drama ini.

Secara umumnya, kami rasakan drama ini baik kerana mengenengahkan satu unsur baru dalam plot yang keluar daripada kebiasaan drama-drama lain yang bertemakan konflik keluarga dan percintaan. Kami sama sekali tidak mempunyai sikap prejudis terhadap seni dan juga anak-anak seni. Ulasan kami ini adalah berdasarkan kepada beberapa babak yang ditayangkan dan menilainya semula dari sudut hukum-hakam.
Pertama: Tentang tajuk
Kami nyatakan sepertimana berikut:

Tajuk drama ini; Isteri Untuk Disewa jika difahami secara zahir merupakan suatu perkara yang amat bertentangan dengan zahir nas al-Qur’an dan Sunnah. Begitu juga dengan moraliti kehidupan manusia samada Islam mahupun bukan Islam.

Tanpa menafikan kebebasan berkarya dalam budaya penggiat seni, kami merasakan bahawa tajuk berkenaan adalah kurang sesuai. Alasan kami jelas, isteri bukan untuk disewa. Isteri adalah akad yang sahih dan diperintahkan untuk bergaul dengan baik sebagaimana yang tertera dalam Surah al-Nisa’ ayat 19. Firman Allah SWT,

وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya: “Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.”

Ibnu Kathir ketika mengulas ayat ini menegaskan bahawa ayat ini memerintahkan untuk memperperhaluskan kata-kata dan memperindahkan perilaku dan sikap, sebagaimana yang kita kehendaki daripada seorang isteri.

Penamaan tajuk yang provokatif dikhuatiri akan menjadi trend dalam penggiat seni sekiranya tidak diberikan penerangan jelas daripada Hukum Syarak, mengenai implikasinya dalam masyarakat.
Kedua: Implikasi Hukum
Dalam Islam, isteri tidak boleh dikontrakkan sama ada dalam tempoh jam, hari, minggu atau bulan. Meminjam isteri bukanlah amalan dalam Islam, begitu juga menyewa isteri.

Isteri adalah amanah Allah kepada suami untuk dimuliakan, dikasihi, disayangi dan diberi hak-haknya seperti termaktub dalam nas al-Qur’an, hadith dan pandangan fuqaha’.

Kami yakin, tidak ada sekelumit niat dalam hati penulis novel dan pengarah tersebut untuk membuat sesuatu yang diluar kerangka Islam namun, sewaan isteri jelas sekali adalah sejuzuk daripada cabang mut’ah yang tidak dibenarkan dalam kalangan fuqaha’ Ahli Sunnah wal Jama’ah dan diharamkan dalam Islam. Ini sebagaimana kata Imam al-Nawawi berkata: “Nikah mut’ah tidak dibolehkan, kerana pernikahan itu pada dasarnya suatu akad yang bersifat mutlak. Maka tidak sah apabila dibataskan dengan masa.” (Lihat al-Majmu, 17/356). Antara contoh bentuk nikah mut’ah adalah perkahwinan yang dihadkan tempohnya. Contohnya, pengantin lelaki berkata dalam majlis akad nikah, “Saya hanya mahu berkahwin dengan kamu selama seminggu.” Lalu pengantin perempuan menjawab, “Saya terima.”
Penutup
Syabas dan tahniah diucapkan kepada wargakerja drama Isteri Untuk Disewa atas kejayaan menarik jutaan penonton bagi menonton drama ini.

Kami menganggap pengarah mungkin terkhilaf dalam menentukan tajuk dan jalan cerita drama tersebut yang khabarnya diadaptasi daripada sebuah novel. Sekali lagi ditegaskan bahawa kami sama sekali tidak berhasrat kebebasan dan kreativiti dalam berkarya. Namun, seeloknya biarlah ianya selari dengan agama dan budaya ketimuran kita.

Sepertimana yang telah kami nyatakan di hadapan para artis dan selebriti tanahair dalam program “A Night With Mufti” di Istana Budaya pada Ramadhan lalu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan sentiasa membuka pintu dan ruang kerjasama dalam memartabatkan industri seni tanahair. “Dinding” antara seni dan agama wajar dipecahkan bagi mengangkat budaya dan faham seni yang berkualiti serta berdaya saing.

Kami amat yakin bahawa Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) atau Lembaga Penapis Filem (LPF) sentiasa memainkan peranan yang lebih aktif dalam memastikan drama dan filem yang disiarkan, mencapai standard kualiti dan moral yang terbaik.

Kami mengambil kesempatan memohon maaf atas kenyataan terbuka ini. Maaf sekiranya kenyataan ini mengguris hati mana-mana pihak. Tidak ada langsung secebis rasa benci dan marah melainkan kasih semata-mata. Kami bacakan firman Allah SWT:

إِنْ أُرِيدُ إِلَّا الْإِصْلَاحَ مَا اسْتَطَعْتُ ۚ وَمَا تَوْفِيقِي إِلَّا بِاللَّـهِ ۚ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْهِ أُنِيبُ

Maksudnya: Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki sedaya upayaku; dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku kembali.

(Surah Hud: 88)

Akhukum fillah,

SS Dato’ Seri Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan,

Khamis 8 November 2018.

Maklum balas dari pengarah : Tiada unsur sewaan isteri: Osman Ali

BERDASARKAN surat terbuka yang ditulis oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, pengarah drama Isteri Untuk Disewa, Osman Ali berterima kasih dan menerima baik teguran berhemah daripada mufti tersebut.

Menurut Osman, dia mengakui bahawa tajuk novel dan drama tersebut boleh disalah tafsirkan jika tidak menonton atau membaca keseluruhan cerita.

“Dalam cerita ini langsung tiada unsur sewa menyewa isteri.  Cuma tajuk tersebut telah mengundang orang ramai untuk tersalah tafsir dengan tema cerita.

“Memandangkan ianya adalah tajuk asal novel, maka kami tidak bercadang untuk tukar tajuk lain demi untuk kekalkan originaliti. Walaupun saya ada juga menyimpan beberapa tajuk lain sekiranya perlu ditukarkan sebelum ini,” katanya.

Tambah Osman, pihak mufti telah memberikan pandangan dan teguran yang baik maka dia amat menghormati cuma dia mengharapkan agar pihak netizen yang tidak pernah membaca dan menonton drama ini, agar tengok dan fahami dulu sebelum mengecam.

“Sejelasnya langsung tiada unsur sewaan isteri dalam novel dan juga drama ini sebaliknya hanya berkisahkan seorang wanita diupah untuk menyamar sebagai isteri.  Hanya menyamar di depan ayah dan ibu buat sementara dia bertemu jodoh sebenar,” jelas Osman.

Ditanya pula mengenai mungkinkah tajuk drama ini akan ditukar?  Osman memberitahu setakat ini masih kekal dan belum dapat apa-apa keputusan dari pihak atasan.

“Cuma kita akan lebih peka dan lebih berhati-hati jika ada sebarang elemen yang bercanggahan dengan fiqh terdapat dalam drama ini,” kata Osman akur.

sumber dari sinar harian.

Jika Anda Sukakan Artikel ini, Sila Kongsikan untuk Manfaat bersama