Aku memang tak boleh kawal diri aku. Aku Hampir Muf lis kerana Tabiat buruk, Sehinggalah satu hari..


Hi, assalamualaikum. Terima kasih admin kerana menyiarkan konfesi aku ini. Konfesi ini agak panjang dan aku harap apa yang aku lalui ni boleh dijadikan pengajaran kepada para pembaca. Nama aku Iz. Umur 29 tahun. Aku pendekkan epilog cerita aku..

Aku bekerja dalam bidang professional berdekatan Pavilion. Aku masih bujang, gaji aku boleh dikatakan selesa, boleh tanggung 3 orang anak tapi sebab aku masih bujang jadi SANGAT lah selesa. Aku tak ada komitmen kereta (loan Myvi aku dah habis bayar), loan education aku guna EPF, rumah tiada lagi (insyaAllah otw) dan tinggal bersama parents.

TAPI…

Aku ada hutang kad kredit dan pinjaman peribadi yang SANGAT tinggi. Jumlah hutang melebihi 37% gaji tahunan aku.

Macam mana boleh jadi macam tu?

NAFSU…

1) Aku berjinak-jinak apply kad kredit 4 tahun yang lalu, mula-mula takut nak ambil, tapi aku gigih juga nak walaupun tiada keperluan. Mula-mula aku buat untuk bayar duit minyak je. Lama-lama fuh dia punya nikmat tak tercapai dek akal. Lepastu, setiap kali Bank message nak naikkan kredit limit, aku pun laju-laju tekan YES. Mendapatlah hutang berpanjangan.

2) Disebabkan aku kerja dekat Pavi, memang aku selalu berjalan kat sana. Lagi-lagi bila aku stress. Korang fahamkan bila kau stress lepastu kau pergi shopping, nafsu kau membuak-buak weh.
Selalu barang yang aku beli barang mekap, skincare, handbag, baju, kasut. Kedai kegemaran aku Sephora, Uniqlo, H&M. Lepastu, dahlah dekat Bukit Bintang tu butik diorang besar gila. Dan aku juga hampir-hampir membeli handbag Chanel yang harga dia RM15k tu guna kredit kad aku. Kalau aku beli memang lepastu aku muflis lah.

3) Aku buat bisness ikut-ikut orang. Konon-kononnya nak berbisnes, ikut sunnah. Aku sampai beli stok guna kad kredit kut. Sebab aku bisnes tanpa belajar dulu selok-belok perniagaan. Itu kesilapan paling besar aku buat.

Sampai satu tahap, duit gaji aku untuk bayar hutang je. Aku tak ada simpanan. Serious.

Aku memang tak boleh kawal diri aku. Aku mula self-diagnosed rasa aku ni ada Bipolar ke sebab shopping kuat sangat? Haha aku pergi jumpa doktor kut, doktor tu gelak kat aku, tapi dia bagi aku beberapa website dan cadangan buku untuk aku baca berkaitan dengan tabiat aku ni. Weh, dah rasa macam Isha Fishler pula dalam movie Confession of A Shopaholic tu.

Sampai lah satu hari…

Aku pergi bank nak refinance personal loan aku sebab monthly cashflow aku teruk sangat. Lepastu Banker tu nasihatkan yang loan aku mungkin tak lepas. Aku pun cerita lah kisah aku kat dia.
Dia sarankan aku buat ASB loan. Walaupun, keadaan kewangan aku tak berapa bagus, tapi dia kata masih boleh selamatkan lagi. Cumanya, aku kena sakit lah dalam tahun pertama tu. Aku pun buat.

Fuhh, dia punya sakit tu rasa nak menangis. Dah ada hutang, kau hutang lagi (walaupun dalam bentuk pelaburan). Ada satu bulan tu baru awal bulan, gaji tinggal RM500 je. Aku bagitahu mak ayah aku, aku ada ada masalah kewangan sikit tak dapat bagi duit bulanan kat mereka, mereka cakap mereka faham. Tapi aku yang sedih sebab benda tu jadi sebab kesalahan aku yang tak pandai uruskan kewangan. 6 bulan juga lah aku tak bagi mereka duit bulanan, tapi aku tolong belikan barang pasar dan barang dapur setiap bulan dan bayarkan bil unifi.

ACTION…

Aku mula decluttering hidup aku. Mana-mana barang/baju/bag yang aku tak perlukan, aku jual. Aku jual kat Carousell siap cakap lagi (Reason to sell: I need money), aku buat carboot sell. Serious, benda ni sangat berkesan. Makin lama barang dalam bilik aku berkurang, almari yang dulu tak muat, sekarang lengang, budak-budak kalau main nyorok-nyorok pun tak lepas sebab tak boleh menyorok, baju sikit sangat.

Handbag aku daripada penuh satu almari, aku tinggalkan 1 bag pergi office (merangkap pergi jalan), 1 clutch untuk majlis formal, 1 bag balik kampung, 1 backpack, 1 sling bag untuk isi purse dan handphone untuk pergi kedai ke mana-mana.

Kasut pun sama. Aku tinggalkan 5 pasang je. 1 sandal untuk harian (Alhamdulillah sandal ni dah 6 tahun aku pakai, masih elok. Sandal Adidas Neo; harga RM78, waktu tu ada sale, okay..sempat pula aku promote), 1 kasut kerja, 1 kasut sukan, 1 sneakers (sebab aku keluar jalan pakai sneakers) dan 1 kasut pergi majlis formal/kenduri.

Segala barang mekap aku yang tak perlu aku jual (kecuali lipstick/lipmatte/liptint atas factor kebersihan). Daripada barang mekap aku yang dalam box bertingkat-tingkat tu, sekarang tinggal dalam satu pouch kecil je. Aku cuma ada satu cushion foundation, satu lipstick, satu mascara, satu eyeshadow pallete yang hanya ada 4 color je. Aku ikut cara Korean makeup look. Blusher tu aku pakai lipstick aku letak sikit kat pipi lepas tu blend, highlighter aku guna eyeshadow color yang berkilat tu sikit je.. eyeshadow aku beli yang set color-color yang sangat nude dan natural supaya ianya boleh multitasking. Haha.

Sama juga skincare, sebab dulu aku suka sangat masuk kedai skincare (Sephora, Kiehls, Innisfree, Body Shop, Laneige, The Face Shop). Sampai aku jadi gold member Sephora kut sebab rajin beli skincare/makeup kat sana. Sedar tak sedar, barang skincare aku banyak gila. Cleanser sampai 8 biji, serum sampai 5 (serum mahal kut). Aku stop beli, aku guna apa yang ada sampai habis. Ada yang aku bagi orang bila yang tak sesuai tu (tapi 90% sesuai cuma takde effect ketara). Dah habis, baru aku beli.

Setahun aku tak beli baju, baju raya aku guna baju aku jadi bridesmade BFF aku. Baju office aku buat baju jalan (sebab aku pakai blouse). Cuma gantikan jelah dengan jeans. Bila kat IG memang lah nampak aku pakai baju sama memanjang. Kalau ada orang nak cakap, cakap lah. Why bother? Tapi sebenarnya tak ada pun orang nak pertikaikan, perasaan kita je terlalu fikirkan apa orang cakap.

Lunch, aku berlatih bawa bekal, Isnin dan Khamis aku puasa, Jumaat je aku tak bawa bekal sebab lunch 2 jam, jadi keluar untuk mingling dengan officemate lain.

Memang sepanjang setahun tu, tak banyak duit aku keluar. Aku lebih kepada nak selesaikan hutang.

LITTLE THAT I KNOW…

1. Aku berjaya settlekan kad kredit aku hasil guna lebihan duit peruntukan makan tengahari aku (guna teknik snowballing);

2. Sebab kredit kad aku dah settle, sekarang personal loan aku bayar lebih daripada komitmen bulanan;

3. Aku gembira bila melihat dividen dalam ASB loan untuk pertama kalinya masa awal tahun hari tu, dan aku tak bercadang untuk keluarkan bagi dia beranak dulu. Betul kata Banker tu, dia akan buat aku jadi bermotivasi untuk menyimpan duit;

4. Akibat daripada tindakan aku yang bawa bekal dan puasa sunat Isnin-Khamis, secara tidak langsung, berat aku turun sebanyak 6kg dalam masa setahun tu. Sebab apa? Aku boleh kawal apa yang aku makan, aku kurang minum kopi hipster yang tinggi gula tu, aku kurang makan fast food, dan aku juga kurang mencuba makan di kafe-kafe hispter;

5. Aku menjadi lebih calculative (tak pasti yang ni petanda baik atau kedekut kekeke). Bila aku nak beli barang, aku akan survey harga kat online, buat perbandingan, baca review. Setiap pilihan aku kira per unit haha. Susah juga, tapi dia buat aku lebih accountable pada perbelanjaan aku.Oh ya, buat kaum wanita diluar sana, jika anda berminat dengan Korean skincare, saya cadangkan website Althea sebab harga (kebanyakan produk) lebih murah;

6. Biological clock aku dah bertukar dan Alhamdulillah aku boleh bangun awal pagi (setiap hari termasuk hari minggu) pukul 4.30-5.00 pagi sebab nak masak punya pasal;

7. Secara tak langsung, aku jadi seorang yang rajin masuk dapur dan take over tugas memasak. Sebelum ni, aku jarang masuk dapur atas alasan sibuk kerja. Mak aku pun happy je sebab dia dah tak perlu memasak cuma kadang-kadang je dia akan pantau aku ke dapur. Sekarang aku tengah belajar masak rendang ayam. kekeke;

8. Muka aku makin berseri. Flawless tu tidaklah aku rasa. Aku rasa sebab utama dia ialah aku jaga makan aku. Sebab kedua, sebab aku puasa (puasa adalah satu kaedah detox badan). Sebab ketiga, kurang pengambilan gula (yerp, pengambila gula yang berlebihan menyumbang kepada jerawat). Sebab keempat, mungkin sebab aku lebih banyak habiskan masa dirumah (yelah jarang keluar nak jimat duit) jadi kulit muka tak terdedah pada sinaran UV sangat. Mungkin juga sebab faktor bangun awal pagi nak masak (orang kata bila kita bangun sebelum Subuh, ia membantu metabolisme badan kita, tak pasti tentang itu);

9. Bila aku bangun pagi, aku pergi kerja pun awal pagi, tak hadap jam, masuk kerja awal, bos aku pun gembira je bila aku balik on time sebab kerja aku siap on time (aku lebih kan masa kerja aku 1 jam di awal pagi). Profession aku tiada istilah OT tapi ada dateline jadi kerja lebih atas komitmen individu;

10. Aku dah tak berniaga. Bukan aku menafikan kelebihan berniaga, cuma aku nak fokus pada komitmen kerja dan belajar sebanyak mungkin daripada pengalaman. InsyaAllah, aku plan nak buka firm atau freelance consultation yang berkaitan dengan profession aku satu hari nanti. Aku target dalam umur 40 tahun macam tu;

11. Kahwin? InsyaAllah, bila tiba masanya. Aku yakin dan percaya pada aturan Allah.

Yerp. I learnt my lessons from the hard way. But I decide to take it from the bright side. Yang penting kena BANYAK BERSABAR menghadapi akibat daripada tindakan kita tu. To live well or live hell, I choose, you choose, we choose.

Kesilapan aku tidak uruskan wang dengan baik. Sedangkan, setiap duit/wang itu rezeki. Dan rezeki itu adalah amanah yang perlu diuruskan sebaiknya walaupun nilainya sebanyak RM100 atau RM1,000 waima RM100,000 sekalipun. Semua itu akan ditanya nanti bagaimana kita menguruskannya.

Semoga apa yang berlaku pada aku ni menjadi iktibar pada kalian.. Sekian, terima kasih. Assalamualaikum.

– Iz