Saya di lahirkan dalam keluarga yang kurang kasih sayang dan susah Tapi Abah sanggup gadaikan apa sahaja untuk anak abah berjaya. Saya di hina , di tuduh , di label dengan pelbagai gelaran


Assalammualaikum. Saya Julia, 30. Sekarang saya menetap di luar negara dengan suami selepas berkahwin lebih 1 tahun lebih. Apa yang saya ingin kongsikan dan dengan kata lain ingin meminta pelbagai pendapat mengenai ‘life’ yang saya lalui sehari-harian sehingga saya tercampak jauh dari keluarga di bumi Malaysia, yang sangat saya rindui.

Saya memang di lahirkan dalam keluarga yang kurang kasih sayang dan susah. Emak terpaksa bekerja kilang untuk menampung keluarga kami, manakala Abah sebagai pemandu lori. Kami anak Felda, di mana suatu ketika dulu, kehidupan kami amat susah. Ayah bekerja di luar daerah, menjadi pemandu lori di dalam hutan. Emak terpaksa bekerja kilang yang memerlukan dia untuk bangun awal pagi dan balik lewat di sebabkan perjalanan agak panjang. Saya menguruskan rumah dan adik. 5 adik beradik, saya perempuan sulung no. 4, 3 orang abang yang tidak boleh di harapkan. Maaf , kesemua mereka . Mereka lebih suka bawa kawan-kawan lelaki balik rumah, membuat bising sewaktu repair motor.

Rumah berminyak & kotor. Saya uruskan , mengemas & memasak sejak dari sekolah rendah sampai habis sekolah menengah. Kesemua mereka pemalas. Sehingga kini. Secara fizikalnya , sewaktu zaman sekolah, saya selekeh dan tidak cantik pada paras rupa. Saya suka membaca dan belajar dengan azam bila besar saya dapat kerja bagus dan dapat keluar dari kepompong keluarga susah kami. Saya kategorikan diri saya sebagai orang yang tidak pandai bersosial, tiada kawan kerana paras rupa saya yang tidak cantik dan dari segi pelajaran, saya tidak pandai.

Tapi di sebab kan saya mempunyai azam yang kuat, saya belajar bersungguh-sungguh sehingga mendapat gelaran pelajar terbaik SPM di sekolah kami. Sekolah kampung. Tapi biar saya kategorikan saya seorang yang sangat-sangat slow learner. Kalau manusia lain belajar sekali atau dua kali untuk dapat A . Saya perlu belajar 5 kali atau worse thing mungkin 10 kali untuk dapat A. Saya seorang yang sangat kuat. Saya akui. Walaupun saya slow learner , saya sentiasa berusaha bersungguh-sungguh untuk capai apa saya mahu. Rumah dan Sekolah , kedua-dua tempat tidak membahagiakan saya.

Saya nak Emak & Abah ada di rumah untuk kami. Saya penat uruskan semua pada usia kecil. Abang-abang saya lebih suka tidur sampai waktu tengahari dan mengharapkan semua makanan siap dan rumah bersih. Saya hadapi semua kesusahan seorang diri sehingga saya habis SPM. Apa yang lebih susah ada lah untuk saya hadapi dunia luar yang lebih mencabar. Saya slow-learner. Saya selalu ketinggalan.

Saya mula terdedah dunia luar apabila tamat sekolah dan meninggalkan kampung pada usia 18 tahun. Saya sambung pelajaran di Matrikulasi dengan mengambil subjek Math, Kimia & Biologi. Matrikulasi adalah untuk pelajar yang pandai. Matrikulasi adalah tempat yang paling ngeri untuk saya. Sekurang-kurangnya saya dapat menjauhkan diri dari abang-abang saya yang bermasalah. Bermula kehidupan saya sebagai pelajar matrikulasi. Saya sering ketinggalan kerana sifat saya yang agak slow untuk terima sesuatu atau memahami sesuatu.

Menangis setiap malam sebelum tidur. Saya down, sedih. Saya di kelilingi kawan-kawan yang sangat pandai. Saya perlu belajar berkali-kali ganda untuk dapatkan keputusan yang setaraf dengan mereka. Kalau orang lain pergi beriadah, saya terperap dalam bilik , study. Kalau orang lain outing, saya masih di bilik, study. Kalau orang lain keluar bersukan, saya di bilik, study. Saya kuatkan. Setakat menangis sebab selalu ketinggalan, biasa. Saya lap air mata, buka buku & sambung study seperti biasa.

Saya habiskan matrikulasi dengan air mata dan mendapat pointer 3.88. Tidak sehebat kawan-kawan masih dapat keputusan yang lebih baik tetapi pada masa sama dapat menikmati hidup. Saya tidak. Saya tiada kawan. Saya tidak layak berkawan. Tiada paras rupa , malahan otak saya pun lembab. Itu semua untuk Abah, dia mengharapkan ada anak dia yang berjaya ke Universiti. Emak pun dah berhenti kerja kilang waktu saya start belajar di matrikulasi. Dia jaga adik. Saya berjaya habiskan matrikulasi. Abah nak saya ambil kos perubatan.

Saya tahu saya tak mampu Abah. Anak abah slow-learner. Apa yang saya dapat adalah kerana usaha , usaha berkali-kali ganda dari orang lain, untuk banggakan abah. Saya ambil kos yang berkaitan sedikit dengan perubatan, untuk gembirakan abah. Saya sedih, tak dapat tunaikan apa abah nak. 4 tahun saya habiskan keringat saya untuk dapatkan sekeping ijazah untuk abah. 4 tahun saya rasa menderita sebab perlu berjuang matian untuk dapatkan keputusan yang memuaskan. Saya kuatkan.

Kalau dalam kelas tu, saya macam di kira melukut di tepi gantang. Sama juga macam kalau dalam group. Saya selalu tak dapat menyumbangkan apa-apa ilmu. Kadang-kadang saya pun tak tahu apa yang saya belajar. Saya memang loser. Sehingga kini. Tapi anak abah kuat kan. Saya tak pernah menyusahkan Emak & Abah. Selama 4 tahun saya belajar , guna kan biasasiswa & waktu cuti semester saya bekerja sebagai pelayan tetamu. Saya jarang sangat mintak duit Abah. Mungkin boleh di kira dengan jari.

Kalau saya mintak Rm50, Abah bagi seratus. Abah sanggup gadaikan apa sahaja untuk anah abah berjaya kan. Maafkan kakak tak dapat tunaikan impian abah untuk jadi Doktor. Anak abah tak berapa pandai macam. Tamat cerita di Universiti. Saya berjaya mendapatkan segulung ijazah untuk abah. Menjadi kebanggaan abah. Abah sedih sebab 3 orang anak lelaki dia tak mempunyai kehidupan yang bagus dan tak berjaya. Ada yang menganggur, duduk saja di kampung. Memintak duit mak & abah ada lah biasa. Saya menjadi tunggak keluarga selepas start bekerja.

Alam pekerjaan…….

Saya tak mampu mendapatkan pekerjaan dalam bidang saya. Bekerja dalam sektor kerajaan apatah lagi. Keadaan diri saya yang mempunyai keyakinan diri yang rendah. Kawan-kawan sekelas ramai yang mendapat pekerjaan yang bagus. Saya habis belajar terus gerak ke KL . Berbekalkan Rm300, pinjam dari mak. Itu lah kali terakhir saya mintak dari mak. Saya tak nak menyusahkan mak abah macam abang-abang saya. Pekerjaan pertama saya ada lah Telemarketer , Sales person over the phone.

Bergaji asas RM1.5K + komisen, dalam 2K++ pada usia 23 tahun, fresh graduate ( tahun 2011 ). Saya seperti biasa sentiasa melakukan sesuatu bersungguh-sungguh, jadi saya dapat buat banyak sales juga waktu tu. Berbekalkan gaji yang ada, saya start bagi elauan bulanan dekat mak. Saya bagi elaun dekat mak abah setiap bulan, tanpa pernah tertunggak sebulan pun, walau sesusah mana pun hidup di KL waktu tu. Saya sentiasa berusaha mencari pekerjaan yang lebih stabil. Hampa. Mungkin saya yang tidak bernasib baik.

Sampai ada seorang kawan offer kerja sebagai pegawai bank di bank tempatan. Saya mendapat pekerjaan tersebut hanya kerana ayah kawan saya adalah manager. Bermula kehidupan sebagai pegawai bank. Mimpi ngeri bermula kembali, sebagai seorang yang slow-leaner saya selalu di herdik kerana tak dapat memahami arahan atau sering kali terlupa procedure walaupun banyak kali buat benda yang sama. 3 bulan pertama amat menyeksakan. Jari-jari saya pernah di tenyeh-tenyeh atas keyboard oleh senior sebab tidak memahami arahan. Saya tak pernah salahkan sesiapa atas layanan buruk yg saya terima kerana azalinya saya seorang yg agak slow. Sebaliknya saya menyalahkan diri saya sendiri. Membezakan saya adalah saya rajin & tidak pernah berkira untuk bekerja.

Saya tidak pernah berhenti berusaha untuk memperbaiki hidup. Selepas 2 tahun bekerja di Bank tempatan, saya lompat ke Foreign Bank dengan tawaran gaji lebih. Yes! Mampu untuk bagi mak & abah lebih. Untuk pengetahuan semua. Tunggak utama dalam hal kewangan adalah saya. Setiap kali nak raya. Saya ada lah org yg paling sakit sekali. Persediaan raya untuk family saya akan tanggung Semua tapi maaf, mak tak pernah bersyukur apa yang saya korbankan. Dia sering bercerita dengan sanak saudara, saya kedekut. Oh di samping bekerja di Bank, saya buat part time juga untuk tambah income.

Selamat Tinggal Malaysia….

Penyebab utama adalah kerana saya putus tunang. Kecewa sebab saya di tuduh membomohkan anak lelaki keluarga si dia. Kisah yang ni lagi panjang. Saya di hina , di tuduh , di label dengan pelbagai gelaran. Saya pendekkan saja di situ. Ada penyebab lain juga. Terlalu banyaknya jatuh dalam hidup saya, bertarikh keramat sempena birthday saya. Saya membawa diri ke luar negara. Ada kenalan yang membantu saya untuk berdiri kembali menghadapi dunia nyata. Hidup saya kembali stabil tapi percaya lah, hakikatnya orang macam saya seperti tiada tempat untuk hidup.

Azali saya yang lembab menyebabkan saya sering di layan agak buruk di mana pun saya berada. Hatta, sehingga saat saya menulis contents ini pun, saya masih di layan, di herdik. Saya tidak pernah menyalahkan sesiapa. Saya kena kuat untuk mencari rezeki. Persoalannya, Agak normal ke orang mempunyai kehidupan seperti saya?

– Julia via IIUM