Kad prabayar dikecuali SST berkuat kuasa serta-merta


KOTA KINABALU – Kementerian Kewangan memaklumkan berkuat kuasa hari ini, pembelian kad tambah nilai prabayar akan dikecualikan daripada cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Perkara itu diumumkan oleh Menterinya, Lim Guan Eng ketika berucap dalam Majlis Taklimat Pelaksanaan SST di sini, sebentar tadi, petik laporan Utusan Online.

Beliau turut memberi jaminan untuk memperbaiki setiap kelemahan yang wujud dalam pelaksanaan sistem percukaian tersebut demi kebaikan semua pihak.

“Malaysia tiada pilihan untuk melaksanakan cukai ini bagi menggantikan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) untuk mengelak negara berdepan dengan masalah defisit.

“Dalam masa sama, kerajaan akan memastikan pelaksanaan SST ini juga tidak akan membebankan rakyat sekali gus meningkatkan ekonomi negara,” katanya.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng sekali lagi menegaskan nilai kad prabayar telefon tidak seharusnya dipotong selepas pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Beliau juga mempersoalkan tindakan syarikat telekomunikasi yang menurutnya “menyukarkan kehidupan” banyak pihak.

Kenyataannya itu susulan rungutan pengguna bahawa nilai kad prabayar mereka dipotong berdasarkan peratusan SST, yang berkuatkuasa semalam.

Ketika sesi taklimat sistem cukai itu di Kota Kinabalu hari ini, beliau berkata kementeriannya akan bertemu dengan syarikat telekomunikasi untuk menyelesaikan perkara itu.

“Kepada yang menggunakan (kad) prabayar…apa yang dicakap sekarang (ia dikenakan SST) tidak betul. Tak payah buat dua kali (pemotongan cukai). Jika anda guna prabayar, anda bayar RM10 dan dapat (nilai) RM10. Tiada pemotongan.

“Mengapa mereka (syarikat telekomunikasi) mahu sukarkan hidup (pengguna)? Tiada kerja lain? Kita akan jumpa syarikat-syarikat ini,” katanya.

Mulai semalam, SST menjadi sistem percukaian menggantikan GST yang sudah berkuatkuasa kira-kira dua tahun. Kementerian Kewangan sebelum ini berkata akan menyemak semula senarai barangan yang dikenakan cukai itu hujung tahun ini, berdasarkan maklum balas orang ramai.

Lim berkata lagi, kerajaan terpaksa mempercepatkan pelaksanaan SST dengan menepati tarikh akhir 1 September untuk mengelakkan risiko defisit perbelanjaan operasi berjumlah RM4 bilion.

Lim sebelum ini sudah memberi jaminan bahawa pengguna kad prabayar akan menerima nilai yang dibayar mereka, dan pengguna akan dibayar rebat bagi menggantikan jumlah yang dicukai.

“Cukai perkhidmatan enam peratus akan dikredit balik kerana mereka sudah set dalam sistem cukai perkhidmatan.

“Itu masalah teknikal yang tidak sepatutnya berlaku tetapi telah berlaku dan kita akan ‘rebate’ balik akhirnya pembeli akan dapat nilai yang sama. Jadi, janganlah terperangkap dengan pihak yang juga menghasut bahawa telah dapat kurang dari RM10. Ini tidak akan berlaku,” katanya.

SST: Isu ‘top up’ dalam perhatian: Gobind
SST: Isu ‘top up’ dalam perhatian: Gobind

KUALA LUMPUR – Kerajaan mengambil perhatian soal rungutan rakyat berkaitan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang dikenakan ke atas tambah nilai prabayar.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata pihaknya akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara itu dalam masa terdekat.

“Terima kasih. Buat isu SST untuk prabayar, perkara ini dalam perhatian kementerian.

“Kenyataan rasmi akan dikeluarkan dalam masa terdekat berkenaannya,” katanya melalui ciapan di Twitter, sebentar tadi.

Beliau berkata demikian bagi menjawab ciapan daripada pengguna Twitter, Mohd Ridzuan Hamzah dituju kepadanya.

Mohd Ridzuan menulis, “tuan YB Gobind Singh Deo, sesuatu harus dilakukan berkenaan perkara ini. Laporan akhbar sebelum ini menyatakan tiada SST untuk tambah nilai prabayar. Kerajaan sebelum ini pun tiada kenakan GST.”

Mohd Ridzuan sempat berkongsi keratan akhbar senarai barangan dikecualikan SST.

Netizen bengang ‘top up’ kena SST
Topup

SHAH ALAM – Pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang bermula hari ini mendapat pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat terutama berhubung caj dikenakan ke atas tambah nilai perkhidmatan prabayar.

Rata-rata ruangan komen Facebook Sinar Harian dibanjiri luahan rasa tidak puas hati netizen sejak pagi tadi.

Syarikat-syarikat telekomunikasi di negara ini kembali mengenakan cukai SST ke atas setiap tambah nilai berkuatkuasa 1 September 2018.

Pengguna membangkitkan soal tambah nilai RM10 di mana mereka hanya RM9.43 dikreditkan.

sumber : Malaysiakini / Sinar Harian